Air masin ubat penyakit kulit

Oleh Nuri Angkasa

PAK NURI terpanggil untuk bertanya pelaut veteran di Dungun, Terengganu baru-baru ini mengenai peranan air laut yang dianggap dapat membantu menghilangkan gatal atau kudis pada kulit. Tok Embong, 92, anak kelahiran Dungun adalah seorang nelayan paling disegani oleh nelayan setempat ketika zaman mudanya. Beliau mengakui bahawa peranan air laut yang sangat berguna untuk kulit manusia tetapi kena tahu menggunakannya.

Orang lama yang masih sihat itu berkata, air masin di tengah laut saja yang mengandungi khasiat garam yang baik lagi berkesan untuk digunakan. Penyakit kulit seperti gatal, kudis atau lain-lain penyakit kulit boleh menggunakan air masin pilihan di tengah laut yang bersih. Air itu dibasuh pada kulit atau bahagian kudis yang sudah dibersihkan terlebih dulu. Air masin yang sudah disimbah kepada kulit hendaklah dibiarkan hingga kering supaya garamnya meresapkan pada kulit atau kudis.

Kulit anda akan terasa kering dan bergaram. Dan, garam inilah yang memainkan peranan sebagai penawar atau ubat pada penyakit berkenaan. Sebaik kering dan bergaram di kulit, anda hendaklah membiarkannya untuk beberapa waktu supaya meresap dalam kulit.

Jangan gunakan air laut di kuala sungai atau pinggir kerana air itu kotor. Malah kandungan garamnya agak kecil untuk dijadikan ubat. Pun begitu, Tok Embong tidak melarang jika kita mandi dengan air laut tetapi selepas itu segera membilasnya dengan air tawar. Ini juga ada baiknya dari segi ketahanan kulit dan kesegaran badan ketika berada di laut.

Jangan sekali-kali air masin laut yang sudah memutih menjadi garam digunakan untuk dimasuk dalam gulai, kerana masin garam ini bukan untuk digunakan dalam makanan.

Bagi Pak Nuri, amalan baik yang diguna pakai oleh Tok Embong berhubung dengan air masih di tengah laut boleh dijadikan petua yang perlu diamalkan sebagai satu ikhtiar mengubati penyakit kulit.

Apa pun ubat dari hospital dan klinik masih perlu digunakan. Cuma air masin di laut sebagai satu ikhtiar sampingan ketika kita berada di laut.

Sumber:  Joran
Lebih baru Lebih lama